Archive for the ‘Mak’ Category

Aku juga pernah menangis. Bila?

Pada hari perkahwinanan aku sendiri. Macam Ikin yang menangis semasa menyampaikan ucapan terima kasih membalas pesanan ibunya. Live telecast perkahwinan Mawi dan Ikin mungkin menjadi perhatian hari ini. Aku juga melihatnya. Bezanya aku melihat dalam sudut kenangan diriku sendiri. Suatu masa dulu, 21 November 1999 Masehi bersamaan 12 Syaaban 1420 Hijrah.

Bezanya antara 2 perkahwinan itu adalah lelaki dan wanita yang menangis. Wanita yang menangis pada sesuatu peristiwa mungkin adalah kebiasaan. Tapi lelaki yang menangis mungkin sesuatu keluarbiasaan lebih-lebih lagi live telecast guna mic. Aku tak malu untuk mengakuinya.

Setelah sekian lama, aku tidak pernah bercerita pada sesiapa pun mengapa aku menangis di hari perkahwinan aku. Mulanya adalah selepas aku selamat melafazkan akad nikad dan bersalaman dengan sanak saudara terdekat yang ada bersama disekeliling aku. Menghampiri Ayong Mariah, aku seperti biasa mencium tangannya dan dia membisikkan sesuatu pada aku, “Sayang kan, Abah dengan Mak tak de masa hari ni nak tengok”. Kenyataan pendek tetapi amat menyentak perasaan aku. Butir-butir airmata mula ada mempengaruhi emosi.

Tiba untuk saat aku melafazkan lafaz taklik, aku masih cuba mempertahankan keegoaan lelaki aku. Tapi aku tumpas dalam kenyataan itu. Dalam sedun sedan dan esak tangis aku meneruskan juga lafaz taklik itu dengan mic yang ada ditangan. Yang aku pasti, majlis sunyi seketika dan ramai berkerumun melihat aku menangis. 2 orang abang aku yang ada bersama keluar kerana tidak dapat menahan hiba. Ketika menoleh ke sisi, Abang Long sahaja yang kekal berhampiran aku dengan mata yang merah dan ada kesan lelehan air mata. begitu juga Busu Hassan. Bersama aku, ramai juga yang mengalirkan airmata khusus adik beradik aku. Ramai juga yang terpinga-pinga penuh persoalan kenapa aku menangis. Amat menyedihkan dan tragis.

“Husband u ni besok nanti jangan marah-marah kat dia. Pasal dia ni sensiitf jiwanya”, kata-kata Akak Mak Andan tu ketika kami dalam persiapan untuk persalinan seterusnya. Aku diam dan tidak memperdulikan kata-katanya kerana hanya aku yang mengerti perasaan aku waktu itu.

Memang aku amat tersentuh kerana mengenangkan Mak dan Abah. ketika itu Kerana akulah satu-satunya dalam adik beradik yang berkahwin tanpa hadirnya Mak dan Abah. Mungkin juga aku mengenangkan masa silam aku yang penuh penyesalan dan duri halangan untuk menuju alam perkahwinan.

Benarlah. Para syaitan akan menangis apabila dua insan di ijabkabulkan. Tapi aku bukanlah syaitan itu.

Aku dalam renungan mata jauh memikirkan sesuatu
di hari perkahwinanku. Ketika membatal wuduk dan
bertukar cenderahati loket dan cincin
Live perkahwinanan Mawi dan Ikin itu, mengajar aku sesuatu dan memahami kenapa Ikin menangis. Perkahwinan itu memang merupakan kenangan seumur hidup. Selalunya penuh keindahan dan perkara yang menggembirakan. Aku telah melaluinya, tapi dari sudut yang berlainan. Pada hari itu aku menangis membawa bersama kenangan Mak dan Abah. Dalam tangis itu juga, aku bersyukur dan gembira dalam cara yang berlainan.

Selain mendengar pesan ibunya, mungkin Ikin juga perlu membaca ini sebagai pedoman. Mungkin juga berguna pada kalian wanita yang bakal menemui jodoh.

Pesan Mak, Pesan Abah

Posted: 20 July, 2008 in Abah, Mak, Pedoman, Perasaan, Sedih
Mak selalu berpesan, bila besar nanti jadi orang yang pandai, pandai membaca jangan jadi buta huruf macam mak. Mak selalu berpesan, jangan buat perkara-perkara tak elok, jangan buat perkara yang menimbulkan kemarahan orang, jadi orang yang disayangi. Mak selalu berpesan, kalau mak tiada nanti, dengar cakap kakak-kakak , dengar cakap abang-abang kerana dialah pengganti mak bila tiada.
Tapi kadang-kadang, anak ini alpa dengan pesan Mak itu. Degil dan keras kepala.

Abah selalu berpesan, jangan lupa sembahyang, selalu ingat Tuhan. Hujung jalan kita nanti kita balik kembali pada-Nya. Abah selalu berpesan, kita orang susah, Abah tak tinggalkan harta, Abah tak tinggalkan duit. Abah bagi kau belajar, Abah bagi kau pergi sekolah. Kalau kau belajar betul-betul dan rajin, ilmu itu akan bawa kau kemana-mana kau nak pergi.

Tapi kadang-kadang, anak ini juga alpa dengan pesan Abah itu. Berlagak sombong dan bongkak dimuka bumi Allah ini.

Anak ini juga selalu meluahkan perasaannya, kalau Mak dan Abah masih ada sekarang ini, anak ini mesti 2 kali lebih gembira bersama isteri, anak-anak serta kehadiran Mak dan Abah. Mesti anak ini akan bergegas balik kerja untuk menjadi penghibur kesunyian masa tua Mak dan Abah. Menjadi hamba untuk berbakti sebagaimana Mak dan Abah membesarkan anak ini.

Malam ini, ingatan anak ini kuat mengingati Mak dan Abah. Pesan mak dan Abah itu tetap menjadi suluh kepada anak ini, untuk meneroka lorong kehidupan yang berada dihadapan dan masih gelap lagi.

Maka anak ini selalu berpesan, muliakan ibu dan ayah anda dari mula mereka mencelikkan mata sehingga mereka tidur dan menutup matanya (bukanlah dari mula kita mencelikkan mata hingga kita tidur). Tiada apa yang lebih baik dan paling berharga di dunia ini selain berpeluang berbakti kepada kedua orang tua kita serta masih berpeluang menyebut perkataan ‘Mak’ dan ‘Abah’. Pastinya setiap dari kita punya azam untuk menjadi anak yang baik dan mendapat kerahmatan Allah dan restu ibu dan bapa. Insyaallah…

Sesungguhnya hidup ini mesti lebih indah kalau Mak dan Abah masih ada.. (ia bukan penyesalan sekadar peringatan)

Lewat malam itu, isteriku menghabiskan masanya berbual-bual dengan ibunya di meja dapur. Berbicara berkisar tentang kisah apa yang berlaku disekitar kejiranan, berita terkini tentang adik beradiknya. Mungkin banyak yang nak diperkatakan sambil meluahkan perasaan seorang ibu.

Terpacul dimulutnya “Mak ni kan tak puas bermain-main dengan cucu mak”. “Korang kalau balik selalu je keluar”. Raya itu hari korang berjalan merata, balik lepas tu pulak sibuk ke Johor Bahru, kalau balik asyik keluar je jarang ada kat rumah, dah la jarang-jarang jumpa”.
“Mak ni bukanlah nak sangat berjalan, tapi suka duduk tengok telatah cucu-cucu mak bermain”. “Kalau berjalan tu tak dapat apa abis masa kat jalan je bukan kat rumah, dapat tengok diaorang pun mak dah rasa puas dan suka”.

Keesokannya, isteriku mengulang semula cerita itu kepada ku. Aku termangu terdiam dengan luahan kata-kata ibu mertuaku itu. Sungguhpun nadanya bersahaja, namun luahan rasa seorang ibu penuh kejujuran. Mungkin anak-anakmu ini disibukkan dengan segala macam urusan duniawi tanpa memikirkan hati dan perasaan mu.

Maafkan kami mak! Mungkin anak ini bukan anak yang dikandung oleh mak selama 40 minggu itu. Tapi anak ini cukup menghargai kasih sayang seorang ibu setelah merasai bagaimana perasaan kehilangannya. Anak ini alpa memikirkan perasaanmu setelah dikau keseorangan setelah permergian abah. Mungkin apa yang kami buat itu untuk menggembirakan hati mak, merasa keindahan dunia ini disamping anak-anak dan cucu-cucu mu. Tapi.. rupanya dunia ini tidak mak pandang sebegitu, duniamu adalah rumahmu itu.

Mak.. anak ini tidak mampu meluahkan dengan kata-kata penuh sesal dihadapanmu. Medan ini jadi pertaruhannya. Mak.. jangan kau simpan rasa itu lagi didalam benak hatimu. Anak ini akan lebih peka dan sensitif dimasa akan datang serta berjanji tidak membuatkan hatimu terdetik lagi dengan rasa yang sama.

Sesungguhnya, hati seorang ibu itu lebih nipis dari kulit bawang yang mungkin mudah terguris dan dirobek. Cuma sebagai anak tidak menyedarinya atau tidak sensitif dengan suasana dan perubahan rasa seorang yang semakin mengkin usianya.

Cuti ini memberi aku sesuatu pengajaran yang takkan ku perolehi dari mana-mana sumber ilmiah mahupun dari segala pendita dan bijak pandai sekalipun. Kata-katamu mak… sungguh memberi kesan dan pengajaran bermakna kepada diriku…