Archive for November, 2009

Iedul Akbar a.k.a Tabaski

Posted: 26 November, 2009 in Uncategorized
Satu lagi hari besar di dalam kalendar islam tiba. Esok, ratusan juta umat islam akan merayakannya disegenap pelusuk muka bumi ini. InsyaAllah, aku diberi kesempatan menunaikan ibadah korban disini.

Banyak iktibar dan pengajaran yang dapat diperolehi. Erti perkongsian hidup kepada insan yang memerlukan. Memberi kepada yang tidak pernah dan tidak berkemampuan untuk merasa. Semoga Allah memberi kerahmatanNya

SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA
dari SHIMI
Advertisements

Hari ini adalah antara yang amat bermakna dalam hidup. Titik tolak dalam memulakan satu perjalanan, penuh cabaran dan dugaan, disulami kerlipan indah bintang kebahagiaan. Menatap sms dari yang tersayang, dan fikiran rancak mencari jawapan yang sesuai…

Jari jemari bermain-main dipapan kekunci ini, mengetik abjad-abjad menggantikan tulisan tangan yang pernah mewarnai dunia percintaan kami dahulu. Selama 8 tahun, surat menjadi perhubungan utama. Tempat meluah rindu dendam, berkongsi suka duka, tinta keramat yang penuh dengan jiwa dan kasih sayang. Sungguh! memang aku sungguh rindu saat-saat itu.

Hari ini hari ke-21 pada bulan November dalam tahun masihi 2009. Bintang utara berkelip cerah di langit Kinshasa. Aku masih mengetik papan kekunci, mencari-cari ilham untuk si dia yang tersayang, pada tahun ke-10 ulangtahun perkahwinan ini.


Abang sayang
Kinshasa, DRC
20 November 2009

Assalamulaikum wbt,

Abang mulakan tinta ini dengan salam sayang penuh kerinduan dari kejauhan. Dengan harapan yang setinggi gunung agar sayang dan anak-anak sentiasa beroleh kerahmatan dan kesejahteraan dari-Nya. Abang mungkin sudah semakin kurang berbakat untuk mengarang kata-kata indah sepertimana yang pernah abang lakukan dahulu sewaktu zaman indah kita bercinta. Dengan sebaiknya, abang cuba untuk menyusun kata-kata untuk jadi tatapan sayang serta dapat menjadi pengubat rindu dihati.

Sayang,

Syukur, kerana kita telah menemui angka 10 di dalam usia perkahwinanan kita. Mungkin usia itu masih muda, tetapi pada kita tempoh itu cukup panjang dan bermakna dalam melalui berbagai kisah rumahtangga. Sayang mungkin lebih memahaminya. Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan, tiada manusia yang tidak pernah tergigit lidahnya. Begitu juga kita dalam tempoh itu, segala rencam itu kita berjaya atasi tanpa ada sebarang konfrontasi. Mungkin itu berkat kasih sayang dan cinta yang utuh di dalam diri sayang. Dengan rasa cinta yang ikhlas itu juga, sayang berjaya mengikat hati abang, menguatkan jiwa abang dan memupuk rasa kasih sayang di dalam diri ini.

Mungkin saat-saat sebegini sayang masih ingat yang abang suka membisikkan kata cinta dalam nada lagu di telinga. Sesungguhnya kata cinta itu benar-benar datang dari dalam sanubari dan tidak hanya manis di bibir semata-mata.

 

Sayang yang abang kasihi,

Seperti baru benar rasanya saat abang melafazkan akad nikah dengan diperhatikan oleh ribuan pasangan mata. Mata dan telinga mereka juga melihat dan mendengar esak tangisan abang setelah selesai menyempurnakan akad tersebut. Banyak yang fikirkan saat itu, dan abang tahu itulah saat mula untuk abang memulakan perjalanan baru dalam hidup. Perjalanan dengan memikul galas tanggungjawab. Perjalanan untuk membuktikan bahawa kita tidak mensiakan-siakan kepercayaan dan harapan dari mak dan abah sayang. Perjalanan ini juga untuk membuktikan bahawa pilihan kita tidak salah dan menidakkan anggapan mulut-mulut mereka. Kita telah dapat membuktikan selama ini untuk menunjukkan betapa suci, tulus dan benarnya cinta kita. Abang tetap tidak melupakan janji abang pada sayang, bahawa sayanglah segala-galanya setelah abang tidak lagi punya kasih sayang dari mak dan abah. 

Terima kasih kerana sayang sudi untuk mencintai dan menerima abang untuk bertapak di hati.

Sayang,

Sewaktu sayang bersetuju untuk menjadi suri hidup abang, abang tahu ia datang dengan harapan yang amat tinggi pada abang. Walaupun sebenarnya tidak mudah untuk menjadi seorang lelaki yang sempurna. Tapi dengan harapan itu, menjadi cabaran untuk abang cuba belajar melalui perjalanan masa. Seperti juga sayang yang menyerahkan pada masa apabila ditanya mengenai sesuatu andaian.

Sayang,

Kita selalu punya impian yang cinta kita semakin utuh, kuat, intim dan mekar bila  kita semakin berusia. Moga impian kita itu menjadi kenyataan walaupun kita sedar bahawa untuk mengekal dan memelihara rumahtangga tidak semudah membinanya.

Memang abang akui bahawa sayang seorang isteri, ibu, penasihat dan pembimbing yang baik. Tiada galang gantinya jika sayang tiada disisi. Tidak terfikir bagaimana berkecamuknya hati ini jika abang bersua saat itu.

Terlalu banyak untuk abang luahkan pada sayang. Ingin kembali sama seperti dulu, kita mampu menghabiskan masa berjam-jam dan belasan helaian kertas demi untuk mencoretkan sesuatu pada yang tersayang. Himpunan surat-surat itu masih baik dalam simpanan kita, biar jadi saksi pada keturunan kita agar mereka tahu betapa kuatnya ka
sih sayang kita.

Sepanjang 10 tahun ini, ada masanya sikap dan perbuatan abang amat mengecewakan sayang. Jika ada perasaan itu di dalam hati sayang, abang memohon keampunan. Jika terguris dan luka biar tubuh ini menjadi ganti siksanyanya.

Tiada apa yang lebih baik dalam diri abang, selain dari melihat sayang tersenyum dan merasai bahagia. Sesungguhnya segala apa yang abang lakukan adalah untuk sayang. Semoga catatan ini mampu mengubat segala kerinduan sayang dan ia datang dari dalam hati yang tulus mencintai sayang selamanya.

Dan ada masanya diam berpandangan lebih baik dari berkata-kata.

 

Selamat Ulangtahun Perkahwinan ke 10

Salam sayang dari abang.


Aku tahu hati dia tulus mencintai, sebagaimana tulusnya dia mencatatkan luahan cintanya seperti yang pernah aku catatkan disini.

 

Aku menatap semula kiriman sms dari tersayang petang tadi,

“10 tahun lalu, malam ini rumah dipenuhi ramai orang. Pengantin perempuan  bersiap untuk majlis berinai. Kedengaran bunyi kompang dan selawat. Bersanding seorang, debaran terasa menanti si dia untuk bersanding bersama pada hari esok. Hati tertanya apa si dia buat ketika ini…”

Received : 20 Nov 2009 – 15:03:09 Central African Time @ 20 Nov 2009 20:03:09 Malaysia

Dan biarkan jawapan itu ada pada hati aku dan dia….

Permintaan hati

Posted: 17 November, 2009 in Uncategorized

 

 

Oh Tuhan ku cinta dia

berikanlah aku hidup

takkan ku sakiti dia

hukum aku bila terjadi

.

.

Aku tak mudah untuk mencintai

Aku tak mudah mengaku ku cinta

Aku tak mudah mengatakan aku jatuh cinta

.

.

Tiada dusta

sumpah ku cinta

sampai ku menutup mata

.

.

cintaku

sampai ku menutup mata

Mencari jawapan

Posted: 14 November, 2009 in Uncategorized
Hujan di pagi sabtu ini memang indah. Menikmati rahmat Ilahi dari kaca tingkap. Rintik-rintik hujan yang membasahi bumi membentuk lopak-lopak kecik sungguh mengasyikkan. Matahari seakan memahami, pancarannya penuh kelembutan. Angin yang berhembus seakan memberi terapi yang sungguh menenangkan. Menikmati teh panas dengan aroma lepas hujan.

jangan bertanya pada diri
apa ada di dalam hati

mengulit rindu
menganyam perasaan

berpuisi dendangan jiwa

jauh dari bumi tercinta

riak senyum yang terukir
tidak sama dengan hati yang menangis

semua itu tidak jadi batas jiwa

jangan bertanya pada diri
apa ada di dalam hati

ini…

 

Sukar untuk digambarkan, sukar untuk aku ungkapkan dengan patah-patah perkataan. Perjalanan itu terlalu banyak pengajarannya, terlalu banyak ceritanya untuk dijadikan iktibar. Jika kamu seorang Muslim, pasti lebih meruntun hati dengan setiap apa yang kamu saksikan yang ditanggung oleh saudara seagama dengan kamu.

Darul Ulum di Kinkole. Destinasi pertama kami singgahi, tempat dimana Sekolah Tahfiz persendirian didirikan. Dibiayai orang perseorangan kelahiran India dengan segala daya upaya bagi menanggung pelajar seramai 28 orang dan mualim. Moga Allah memberi rahmat atas usahanya.

Gigih, tabah dan sabar. Ya! dalam keadaan yang penuh kekurangan itu mereka tetap bersungguh-sungguh untuk menggali ilmu. Menjadi seorang hafiz bukanlah mudah, lebih-lebih lagi kamu berada dinegara yang bukan agama Islam adalah agama anutan utamanya. Kemudahan asas yang serba daif. Mereka dari daerah dan wilayah yang berbeza, berpisah dengan keluarga demi untuk bergelar seorang tahfiz. Dengan ilmu itu, mereka bakal kembali ke kampung halaman masing-masing , berbakti mencurahkan ilmu yang dipelajari.

Jika mereka punyai kemudahan kaset atau pemain CD untuk bacaan Al-Quran tentu lebih mudah dari segi mendengar untuk teknik hafalan. Malangnya itu semua tidak mereka punyai. Kami hanya mmapu mencatit di dalam ingatan segala apa yang mereka perlukan. Mudah-mudahan diberi kelapangan untuk membantu… juga pada kamu

 

Persinggahan seterusnya adalah Maluku. Kesempatan yang ada diambil untuk meninjau penempatan muslim dan masjid disitu. Agak sukar dipercayai masjid yang mempunyai hampir 300 kanak-kanak untuk belajar asas Al-Quran tidak mempunyai bahan mengajar. Hatta muqaddam sekalipun, segalanya adalah dari hasil tulisan mualim di papan hitam. Hanya ada sebuah Al-Quran yang kelihatan. Alangkah baiknya jika naskah Al-Quran yang berlebihan dimasjid di Malaysia dapat dibawa disini. Moga ada yang sudi mengumpulkan dan menyumbangkan naskah Al-Quran dan Muqaddam demi membantu saudara seagama disini.

Begitu juga pada persinggahan kami seterusnya. Masjid Kinkole. dilawati untuk melihat perkembangan hasil sumbangan Al-Quran dan Muqaddam. Alhamdullillah! mereka semakin seronok belajar dengan adanya Muqaddam sebagai bahan bantuan mengajar. Cuma mereka perlukan makanan dari kelaparan dan kekurangan zat makanan untuk memberi lebih semangat untuk mengaji. Seperti tidak sabar untuk menunggu Hari Raya Korban untuk melihat muka-muka yang gembira menerima pengagihan daging dan beras dari hasil usaha kami disini untuk membantu.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Perjalanan ini terlalu singkat rasanya. 7 jam yang dipenuhi dengan pengajaran dan pembelajaran untuk diri. Terasa diri terpanggil untuk menyeru kepada kawan-kawan sekelian untuk turut sama membantu mereka. Mereka memang kekurangan Muqaddam dan Al-Quran. Namun jika kita semua bersatu melakukan kutipan dan ingin betul-betul membantu mereka, pasti Allah memberi ganjaran yang setimpal dengan usaha itu.

Cuma halangan perbelanjaan mengepos sahaja segala keperluan tersebut disini. Hanya DHL sahaja yang memberi dan menawarkan perkhidmatannya disini. Namun demi untuk menegakkan syiar Islam, itu semua pasti dapat diatasi. Dengan izin dan perlindungan-Nya, aku sanggup mengagih-agihkannya semua itu mengikut keperluan tanpa sebarang upah. Walaupun tugas a
ku disini tidak membolehkan aku bersikap bias pada agama. Itu semua sanggup aku hadapi walaupun secara sembunyi demi untuk mencari keredhaan-Nya dan membantu saudara sesama agama.

Maka dengan rendah dirinya, aku sekali memohon kalian agar dapat memanjangkan usaha ini. Jika kamu punya hubungan dengan sebarang badan amal mohon panjangkan untuk pengetahuan mereka. Jika kalian mahu membantu dari segi kewangan, cuma segala keperluan itu tidak mudah dibeli kecuali keperluan bantuan makan dan minum sahaja untuk para tahfiz dan kanak-kanak yang belajar mengaji sahaja. Yang lain-lainnya lebih pada kemudahan dan bantuan bahan.

Mungkin aku tidak pandai menyusun kata-kata yang lunak, tapi realiti kesusahan mereka tidak dapat untuk aku tintakan dengan tulisan disini. Jika kalian punyai niat dan kesanggupan untuk membantu, mohon kita berhubungan dengan email aku  : shimi4all [at] yahoo dot com atau tinggalkan email pada ruangan komen.

Semoga setiap usaha kalian itu menjadi jalan dan tangga-tangga ke syurga idaman setiap kita. Selalu aku berfikir, “tidak kita akan jadi miskin dan papa kedana jika sedikit dari harta itu dikeluarkan dan disumbangkan untuk jalan kebaikan. Allah mempunyai banyak ruang untuk membalas kebaikan kita itu sama ada kita sedar atau tidak serta melapangkan segala kesusahan dihadapi. Mungkin itu juga pada sebaliknya jika kamu tidak menghulurkan apa-apa sekalipun”.

BANTULAH MEREKA! MOGA ALLAH MEMBERI RAHMAT KEPADA KALIAN.

Aku merayu pada kalian untuk sama-sama dapat membantu mereka….

Tangga-tangga menuju ke syurga

Posted: 8 November, 2009 in Uncategorized

 

 

Cuti hujung minggu yang memenatkan. Perjalanan selama 7 jam melihat keindahan bumi Allah demi mencari keredhaan-Nya. Banyak lagi yang ingin aku ceritakan disini. Biarkan gambar-gambar itu melayani pertanyaan ingin tahu kamu. Jika aku sudah sembuh dari kepenatan ini, akan aku ceritakan segalanya pada kamu serta peluang yang ada untuk mencipta tangga-tangga menuju ke syurga.

Dengan izin-Nya semoga aku diberi kesempatan oleh-Nya untuk bercerita lagi dengan kamu esok, mengenai cerita ini…

“Takdir hidup kita tidak sama”, itu yang terlintas dihati.

Terlalu banyak kepayahan disini. Terlalu banyak penderitaan disini. Semua payah dan derita itu kamu saksikan dihadapan mata, menggamit rasa simpati.

“Kamu sebagai manusia biasa, tidak semua simpati kamu itu dapat dipenuhi”, lantas kata-kata itu terlintas difikiran. Mendiamkan diri mengenangkan keterbatasan itu.

Kamu boleh bayangkan, apa yang boleh kamu lakukan dengan hanya berbekalkan gaji sebanyak USD75 untuk sebulan. Jumlah itu untuk menyara makan minum keluarga, tambang ke tempat kerja serta keperluan lain. Kamu perlu berjalan kaki sejauh lebih kurang 5km sehala untuk ketempat kerja. Tiada makan minum ditempat kerja kecuali jika ada ihsan dari majikan kamu. Tidak munasabah dan masuk akal apabila kamu fikirkan tentang kenyataan hidup disini. Tapi semua yang dihadapinya itu lebih baik dari tidak punyai apa-apa pekerjaan langsung. Kamu juga tahu cerita dia disebaliknya…

“Cost of living disini terlalu tinggi untuk orang tempatan. Segalanya perlukan duit. Yang kaya dengan lagaknya, yang miskin terus merempat”, akal aku seakan cuba mengiyakan kenyataan itu yang kamu saksikannya dengan mata kepala kamu. Hanya mampu menggeleng dan melepaskan rasa kasihan. Salut! pada ketabahannya…

.

.

.

Aku lihat air matanya mengalir dan melepaskan kesusahan yang dihadapinya. Jauh dia merenung dunia yang ada dihadapannya, memikir jalan-jalan yang dilalui menuju injakan usia. Kisah dan ceritanya itu menarik rasa simpati, seakan dekat dengan kamu. Congolese Franco sebagai upah menggunting rambut bertukar tangan, dan sejumlah kecil USD juga diselitkan kedalam koceknya. Walaupun ia tidak sebesar mana pada kamu, tapi mungkin cukup besar pada dia. Cukup untuk dia sentiasa mengucapkan rasa terima kasih tak henti-henti. Nama kamu seperti terpahat dihatinya, cukup diingati dan disanjungi. Hanya itu sekadar kamu mampu.

Tapi kamu hanya manusia biasa, tidak semua simpati yang ada disekeliling kamu dapat dipenuhi. Kamu hanya mampu menggeleng dan melepaskan rasa kasihan bersama nafas kamu yang masih berbaki…