Archive for the ‘Tangisan’ Category

Aku juga pernah menangis. Bila?

Pada hari perkahwinanan aku sendiri. Macam Ikin yang menangis semasa menyampaikan ucapan terima kasih membalas pesanan ibunya. Live telecast perkahwinan Mawi dan Ikin mungkin menjadi perhatian hari ini. Aku juga melihatnya. Bezanya aku melihat dalam sudut kenangan diriku sendiri. Suatu masa dulu, 21 November 1999 Masehi bersamaan 12 Syaaban 1420 Hijrah.

Bezanya antara 2 perkahwinan itu adalah lelaki dan wanita yang menangis. Wanita yang menangis pada sesuatu peristiwa mungkin adalah kebiasaan. Tapi lelaki yang menangis mungkin sesuatu keluarbiasaan lebih-lebih lagi live telecast guna mic. Aku tak malu untuk mengakuinya.

Setelah sekian lama, aku tidak pernah bercerita pada sesiapa pun mengapa aku menangis di hari perkahwinan aku. Mulanya adalah selepas aku selamat melafazkan akad nikad dan bersalaman dengan sanak saudara terdekat yang ada bersama disekeliling aku. Menghampiri Ayong Mariah, aku seperti biasa mencium tangannya dan dia membisikkan sesuatu pada aku, “Sayang kan, Abah dengan Mak tak de masa hari ni nak tengok”. Kenyataan pendek tetapi amat menyentak perasaan aku. Butir-butir airmata mula ada mempengaruhi emosi.

Tiba untuk saat aku melafazkan lafaz taklik, aku masih cuba mempertahankan keegoaan lelaki aku. Tapi aku tumpas dalam kenyataan itu. Dalam sedun sedan dan esak tangis aku meneruskan juga lafaz taklik itu dengan mic yang ada ditangan. Yang aku pasti, majlis sunyi seketika dan ramai berkerumun melihat aku menangis. 2 orang abang aku yang ada bersama keluar kerana tidak dapat menahan hiba. Ketika menoleh ke sisi, Abang Long sahaja yang kekal berhampiran aku dengan mata yang merah dan ada kesan lelehan air mata. begitu juga Busu Hassan. Bersama aku, ramai juga yang mengalirkan airmata khusus adik beradik aku. Ramai juga yang terpinga-pinga penuh persoalan kenapa aku menangis. Amat menyedihkan dan tragis.

“Husband u ni besok nanti jangan marah-marah kat dia. Pasal dia ni sensiitf jiwanya”, kata-kata Akak Mak Andan tu ketika kami dalam persiapan untuk persalinan seterusnya. Aku diam dan tidak memperdulikan kata-katanya kerana hanya aku yang mengerti perasaan aku waktu itu.

Memang aku amat tersentuh kerana mengenangkan Mak dan Abah. ketika itu Kerana akulah satu-satunya dalam adik beradik yang berkahwin tanpa hadirnya Mak dan Abah. Mungkin juga aku mengenangkan masa silam aku yang penuh penyesalan dan duri halangan untuk menuju alam perkahwinan.

Benarlah. Para syaitan akan menangis apabila dua insan di ijabkabulkan. Tapi aku bukanlah syaitan itu.

Aku dalam renungan mata jauh memikirkan sesuatu
di hari perkahwinanku. Ketika membatal wuduk dan
bertukar cenderahati loket dan cincin
Live perkahwinanan Mawi dan Ikin itu, mengajar aku sesuatu dan memahami kenapa Ikin menangis. Perkahwinan itu memang merupakan kenangan seumur hidup. Selalunya penuh keindahan dan perkara yang menggembirakan. Aku telah melaluinya, tapi dari sudut yang berlainan. Pada hari itu aku menangis membawa bersama kenangan Mak dan Abah. Dalam tangis itu juga, aku bersyukur dan gembira dalam cara yang berlainan.

Selain mendengar pesan ibunya, mungkin Ikin juga perlu membaca ini sebagai pedoman. Mungkin juga berguna pada kalian wanita yang bakal menemui jodoh.

Waktu kecil dulu, aku dan juga kamu sering dimomokan bahawa lelaki tidak boleh menangis. Lelaki perlu kuat, lelaki perlu tabah dan tangisan bukan milik lelaki. Kalau jatuh perlu bangun sendiri tanpa kesan lelehan air mata dipipi. Asuhan itu benar dan tiada salahnya. Lelaki perlu ego untuk menumpahkan setitis air matanya. Mungkin perjalanan pembelajaran begitu sejak azali kepada budak-budak lelaki.

Kini aku sudah jadi lelaki dewasa. Telah banyak belajar tentang kesukaran dan suka duka hidup. Tahu makna gembira dan air mata. Tidak ego dan lupa akan asuhan dulu, aku juga menangis. Tidak perlu malu mengaku yang kau juga menangis melihat sketsa dan cereka yang menyentuh jiwa. Tidak perlu malu mengaku kau juga menangis bila bersendirian dan merindui seseorang. Menangis itu bukan milik wanita, lelaki juga perlu.

Ejekan dan sindiran pasti didengar. Lelaki menangis itu lembik. Lelaki menangis itu pondan. Lelaki menangis layak berkawan dengan wanita. Itu semua momokan. Sebenarnya lelaki itu ego, lelaki itu malu untuk memecahkan tradisi, lelaki itu tidak sekuat disangkakan kerana dia juga manusia. Lelaki juga fitrahnya sama, ada jiwa ada perasaan ada emosi.

Menangis itu lebih baik dari memendam rasa. Menangis itu memberi kelapangan dan ketenangan fikiran dan jiwa. Menangis itu membuatkan kita lebih tabah dan kuat. menangis itu tidak menjadikan lelaki itu pondan dan lembik. Menangis melembutkan hati, ketawa menjauhkan ilmu. Menangis membentuk jiwa yang lebih berkasih sayang. Menangis membentuk perasaan cinta.

Tidak sukar untuk menangis. Cuma perlu ada empati, jiwa yang penuh kasih sayang dan kejujuran. Rasullullah SAW juga menangis tiap malamnya kepada Ilahi. Menangis itu bukan milik wanita, lelaki juga perlu…