Archive for August, 2009

Salam Merdeka Malaysiaku Ke-52

Posted: 30 August, 2009 in Uncategorized

Malaysia Ku Gemilang

Hari ini bumiku Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan ke-52. Bumiku itu telah 52 tahun bebas dari penjajah, bebas membuat keputusan cara hidup dan mentadbir negara dan hasil buminya.

Mungkin erti bebas itu terletak pada pengertian diatas kertas. Disini aku telah saksikan yang sebuah negara yang merdeka tetapi masih terjajah dengan segala macam dakyah. Tiada kebebasan untuk membuat keputusan dan meminta-minta untuk mendapatkan bantuan dari segala badan dan pelusuk dunia.

Moga rakyat dan generasi Malaysia hari ini mengerti akan erti kemerdekaan sebenarnya. Merdeka dalam segala bentuk. Bebas juga dalam menentukan segalanya.

 

Marilah kita semua
Atas nama negara bangsa
Dengan tekad mulia
Maju berwawasan
Mencipta keagungan

Berpadulah kita semua
Di dalam satu suara
Dengan degupan merdeka
Menjulang budaya bangsa
Untuk Malaysia tercinta

Malaysiaku gemilang
Merdekanya terbilang
Berdaulat dan makmur
Berjaya kami syukur

Malaysia.. kebebasan kedamaian
Malaysia.. kebahagiaan kebanggaan
Malaysia.. cemerlang terbilang
Malaysiaku gagah gemilang

 

Tiada apa yang lebih baik dari mempertahankan kemerdekaan itu apabila kamu telah melihat sebuah negara yang hancur kemerdekaannya. Ketika itu kamu akan tahu apa makna kemerdekaan dan kebebasan yang sebenarnya. Kamu pasti tidak akan mahu menjadi bangsa yang meminta-minta demi sesuap nasi atau kamu akan menjadi pencacai yang menghambakan diri kepada teknokrat asing yang kononnya ingin membantu kamu untuk mengembalikan dan memulihkan kemerdekaan yang pernah kamu kecapi dahulu.

Kamu pasti akan menangis menitiskan airmata apabila melihat erti kesengsaraan yang sebenarnya yang berada dihadapan mata. Kamu pasti akan insaf dan merindui kedamaian. Ketahuilah! pada hari ini aku menangis dibumi asing mengenangkan kemerdekaan dikecapi oleh tanahairku. Pada hari ini aku menangis kerana mensyukuri betapa besarnya rahmat Ilahi kerana dilahirkan dibumi bertuah itu.

Salam Merdeka. Moga Malaysiaku ini terus makmur, sejahtera dan berjaya. Juga pada kamu semua rakyat Malaysia yang berusaha dan menyumbang dalam apa jua bentuk untuk membangunkan negara tercinta Malaysia. Pertahankanlah kemerdekaan itu dengan sedaya upaya kamu kerana kamu tidak akan tahu apa yang akan terjadi kepada nasib kamu apabila kamu kembali terjajah.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! – MAY GOD BLESS MALAYSIA

Kredit imej SHIMI - Ramadan_Karim_by_Stroubia

Ramadhan kali ini amat istimewa disini. Istimewanya bukan pada bazar ramadhan atau juadah yang pelbagai tapi kekuatan ukhwah komuniti muslim disini. Betapa pengisiannya diatur tanpa mengira sebarang kepentingan mana-mana pihak ataupun bermotifkan politik. Serba sederhana tapi penuh bermakna.

Ramadhan disini juga banyak mengajar aku akan erti bersyukur mengenai apa yang terhidang depan mata, erti berdikari dibumi asing. Bagaimana rasanya kamu masih bermesyuarat ketika telah tibanya waktu untuk berbuka. Dan pada hari ini aku laluinya. Ramadhan disini juga banyak mengajar aku tentang erti sabar dan bertolak ansur. Ya Allah, hamba ini bersyukur kerana Dikau menemukan hamba ini dengan jalan sebegini…

“Ramadhan Karim, Ramadhan Mubarak”, itu sapaan komuniti muslim disini apabila bertemu dengan kamu dan mengetahui kamu juga seorang muslim. Berpelukan menghargai saudara islam yang ditemui. “Ya Allah!, betapa hamba ini merasa terlalu kerdil dari segi iman dan ukhwah apabila berada dikalangan mereka”.

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

Al-Fatihah : Ayat 1 – 7

Jumaat ini buat aku tersenyum

Posted: 21 August, 2009 in Uncategorized

Salam Ramadhan khusus pada sahabat sekalian yang kebanyakan berada di tanahair tercinta.
Esok Sabtu, Ramadhan disini bermula.

Hu..hu…hu…hu..

Ramadhan disini berbeza sekali seperti yang pernah yang aku tempuhi dinegara lain. Kata mereka disini tiada kemeriahan Bazar Ramadhan seperti tempat kita. Tiada menu-menu yang menyelerakan selain dari apa yang Mama masak. Imsak jam 4 pagi dan waktu berbuka sekitar 6.05 minit petang. Menunaikan solat tarawih di premis tentera Ghana.

Ramadhan bagai ada cahaya yang terbit dalam hidup ini. Ia bagai satu petanda yang aku akan kembali menjejak kaki ke tanahair tercinta lebih kurang 27 hari lagi.

Jumaat, sehari sebelum Ramadhan. Aku tersenyum…

Jika ini yang kamu mahu

Posted: 19 August, 2009 in Uncategorized

Jika kamu tidak punya rasa untuk bersatu..

Ini adalah realitinya sebuah negara yang berperang

SHIMI - Manusia Ini Kejam

SHIMI - Manusia Ini Kejam 2

SHIMI - Manusia Ini Kejam 3

Sesal dalam rindu

Posted: 18 August, 2009 in Uncategorized

 

Kalau menyanyi perlahan-lahan
Dibawa angin terdengar jauh
Rindu di hati tidak tertahan
Di dalam air badan berpeluh

Tenang-tenang air di laut
Sampan kolek mudik ke tanjung
Hati terkenang mulut menyebut
Rindu kini tiada penghujung

Kiri jalan kanan pun jalan
Tengah-tengah pohon mengkudu
Kirim jangan pesan pun jangan
Sama-sama menanggung rindu

Disana pauh di sini pun pauh
Daun mengkudu ditandungkan
Adinda jauh kekanda pun jauh
Kalau rindu sama tanggungkan


Hati dan perasaan memang tidak boleh dijangka. Dalam kesunyian, semua itu amat meletihkan. Bebanan dan tekanan. Tiada kata-kata yang mampu mengungkapkan perasaan dan keadaan yang dihadapi. Mungkin itu yang tersayang rasai sekarang…

Aku tahu yang aku telah melukai hati dan perasaannya. Kejauhan, beza masa dan tugas menjadi semua perancangan terbatas. Janji temu diruang maya yang tidak dapat dipenuhi. Sukar untuk diterjemahkan rasa kecewa itu…

Aku menung dan merenung kekhilafan. Wang dan harta tidak mampu menggantikan calar perasaan. Walau kemaafan telah ada, sesalnya masih berbekas. Aku sayu.

Sayang! Maafkan aku. Aku benar-benar memohon kemaafan…

Malam ini tidak sama seperti malam-malam yang pernah aku tempuhi disini. Malam dimana aku melayan perasaan…

 

“Perjalanan hidup disini terlalu sukar untuk dihadapi”.

Bunyinya seperti aku mengeluh dan punya rasa putus asa. Rasa perasaan terlalu sukar untuk digambarkan. Adakalanya hati ini ingin meraung dan menangis, kerana aku tahu aku tidak punyai sesiapa disini. Aku sentiasa bermohon kepada-Nya agar rasa tabah itu masih memihak pada diriku…

“Ikut hati mati, ikut rasa binasa”.

Aku perlu melawan segala perasaan itu. Belum lagi separuh dari perjalanan yang telah aku tempuhi, dan aku tidak mahu kecundang. Mungkin aku hanya manusia biasa, baru tersentak sedar apabila kesenangan yang biasa dinikmati hilang tiada dihadapan mata. Insaf apabila didalam keadaan susah, lupa bersyukur apabila nikmat melimpah ruah.

“Alangkah baik kalau aku mampu jadi itu, jadi ini…”.

Aku bukan manusia yang sempurna. Tidak punya apa-apa kemampuan untuk mengubah tanpa redha-Nya. Walau macamana tinggi cita-cita dunia, semua itu tidak mampu digapai dengan hanya dua tangan tanpa pertolongan tangan-tangan Nya.

Moga setiap yang aku lalui ini mampu menjadi petunjuk dalam perjalanan hidup seterusnya agar aku memahami dan belajar menjadi hamba yang bersyukur.

Dan hari ini aku bertanya pada diri aku sendiri,

mahu apa hidup ini?…

9.47 pm Kinshasa @ 4.47 am Kuala Lumpur

Kuh lah vee ay bell !

Posted: 6 August, 2009 in Uncategorized
Komunikasi adalah cara untuk kita berhubung. Disini bahasa utama pertuturan adalah bahasa Perancis. Bahasa tempatan yang dominan adalah Swahili, Lingala, Ki Kongo dan ada lebih kurang ratusan dialek tempatan lain yang dipertuturkan.

Minggu ni aku memulakan kelas bahasa Perancis aku. Tergeliat juga lidah, kerana perkataan yang tertulis tidak sama sebutan. Aku seronok. Jangan tak tahu yang aku ambik tuition dengan guard yang jaga rumah aku. “Good papa, you’re good papa!”, ayat-ayat mengampu dari Claude atau Jerry si jaga rumah aku. Dalam senyuman, aku menghulur sebatang rokok Dunhill impot dari Kenya. Asap berkepul menenggelamkan kami dalam gelak ketawa interaksi ayam dan itik.

Minggu-minggu yang berlalu penuh dengan kesibukan. Aku semakin dapat menyesuaikan diri. Adakalanya aku lebih selesa untuk pulang dengan hanya berjalan kaki tanpa pemandu. Aku suka melihat gelagat mereka walaupun berisiko tinggi kerana berseorangan. Semua aku berserah dengan Allah.

Selamat malam – Bonne nuit (tulis) Bohn nwee (sebut),
Ku kira kalian sedang menikmati malam yang indah dibumi Malaysia dengan bintang-bintang yang berkelipan semasa aku sedang menyediakan entri ini.

Terima kasih banyak-banyak. Merci beaucoup (tulis) Mehrsee bohkoo (sebut)
Terima kasih jika kalian masih sudi singgah disini.

Life is wonderful – que la vie est belle