Archive for the ‘Masa Silam’ Category

Helen berbicara dengan aku dengan loghat Aussie nya yang pekat. “Hidup ini penuh dengan keunikan. Setiap dari kita melaluinya dengan cara yang berbeza-beza walaupun perjalanannya sama”. Aku sekadar mengiyakan sahaja.

Petang tadi selepas semua yang memenatkan selesai, kami menikmati keenakan cappucino di City Walk sambil bertukar-tukar cerita. Tentang diri, hal-hal kerjaya dan keluarga. Sungguh menenangkan.

“Bagaimana awak boleh melalui hidup tanpa ibu bapa ketika membesar”, terpacul soalan itu darinya. Mungkin berurutan dari pengkisahan diri aku kepadanya. “Sama seperti orang lain juga ditempat saya tinggal”, aku cuba meringkaskan jawapan tentang apa yang telah aku lalui itu.

“Sebegitu mudah”, persoalannya masih tidak berpenghujung. “Tidak juga, sebenarnya saya tidak mahu lagi menoleh mengenai masa silam saya yang telah berlalu. Ia penuh dngan cerita sedih dan kisah-kisah yang penuh penyesalan”, balas saya dengan harapan Helen tidak bertanya lagi.

“Ooohhh”, ringkas dari mulutnya dengan mimik muka yang seakan masih ingin mengetahui lebih lanjut. Saya dapat membaca persoalan yang terbuku di hatinya.

Seperti ada yang tersekat dari dalam kotak suara yang mahu dilepaskan, aku pantas bercerita. Kisah yang juga sebenarnya jarang aku kongsikan. “Awak tahu, saya kehilangan ayah saya ketika saya berumur 15 tahun. 6 tahun selepas itu, ketika saya beumur 21 tahun, ibu saya juga pergi menemui Tuhan. Memang saya punyai abang dan kakak. Tapi kasih sayang itu tidak sama seperti bersama ibu dan ayah. Saya membesar dengan mencari-cari kasih sayang yang saya perlukan”.

Helen kelihatan khusyuk mendengar, dan seperti melihat siri drama sedih, aku lihat matanya berkaca melepaskan titis-titis air mata. Seperti lagak gentlemen dari siri drama, aku menghulurkan sapu tangan kepadanya untuk menyeka air mata.

“Kerana itu saya amat tersentuh dan sedih melihat nasib orang-orang tua yang diabaikan. Begitu juga kanak-kanak yatim. Saya telah melaluinya, saya merasai erti sepi dan kehilangan itu”, susunan ayat-ayat saya melengkapkan cerita petang itu.

Memang saya tersentuh dengan cerita awak. Tiba-tiba saya merasa indu pada mereka dan tidak sabar mahu memluk mereka. Terasa tidak sabar mahu pulang menjenguk ibu bapa saya”, ujar Helen.

“Bukan ke lusa Hari Krismas? Ia memang hari yang amat sesuai untuk itu”, aku memberi galakan. “Ya! saya akan mula bercuti esok, selepas menghantar awak pulang. Lagipun rumah ibu bapa saya tidak jauh dari kota ini. Terasa sayang awak tidak dapat bersama kami pada perayaan ini”.

“Kalau ditempat awak, ketika perayaan orang islam, apa yang awak akan buat?, timbul persoalan baru dari Helen. “Kami akan bersembahyang dan bermaafan dengan orang yang lebih tua khususnya ibu bapa dan berziarah”, aku menerangkan dengan sedikit emosi terkenangkan damainya mengucup tangan mak dan abah dan memeluk mereka.

“Saya tidak pernah memohon kemaafan dengan mereka. Saya tahu saya banyak membuat salah dengan mereka. Krismas kali ini saya akan memohon kemaafan dengan mereka kerana kebiadapan yang pernah saya lakukan pada mereka. Saya mahu ikut seperti yang awak lakukan”, tekad Helen dalam katanya.

“Helen, perbuatan memohon kemaafan dan memaafkan itu bukan setakat pada hari perayaan sahaja. Yang penting hati kita sentiasa mengingati mereka. Perbuatan kita dapat menenangkan hati mereka. Dengan memohon kemaafan mungkin hati kita dan hidup kita akan lebih tenang. Jasa mereka takkan dapat kita balas seumur hidup. Hargai mereka ketika kita masih punyai mereka dan berpeluang bersama sebelum Tuhan mengambil mereka”.

Usai. Sambil berjalan, Helen kelihatan tunduk. Dilobi hotel itu Helen berkata “Terima kasih kerana membelanja saya capucino yang paling sedap yang pernah saya nikmati dalam hidup. Cerita awak banyak memberi pengajaran kepada saya. Saya amat terharu dengan kisah awak”. Aku lihat butir-butir airmata kelihatan ketika Helen memulakan langkahnya meninggalkan aku dikaunter. Aku bermain dengan emosi tentang mak dan abah.

Helen, memang benar kata awak “Hidup ini Tuhan jadikan penuh dengan keunikan. Setiap dari kita melaluinya dengan cara yang berbeza-beza walaupun perjalanannya sama”.

Esok,aku tidak sabar mahu pulang.

Advertisements

November Itu

Posted: 2 November, 2008 in Bicara, Masa Silam, Nostalgia, Sentuh Rasa

Satu mood kenangan.
Terbaca catatan Sa mengenai tempat itu.
Aku bernostalgia berkongsi rasa tentang tempat itu,
menyelami catatannya sama seperti aku ketika pernah hadir disitu.

15 November 1995.

Hari terakhir aku disini. Malam tadi kami berparti ditempat biasa. Farewell barangkali, dan berlarutan hingga pagi. Aku terpisah dengan mereka selepas berjanji akan bertemu kali terakhir di airport. Dalam redahan embunan pagi itu, aku bersendirian untuk menikmati kelazatan dan keindahan buat kali terakhir disini. Zu masih setia menemaniku seperti biasa.

Aku kembali semula ke penginapan. Tiket Penerbangan Malaysia berada di tangan ku tatap berulang kali. Jam di dinding pukul 1 petang tertera ditiket jam 4.35 petang. dalam penuh kemalasan, aku mengemas baki barangan ku. Pada Zam dan Snoop, aku tinggalkan baki barangan ku yang tidak dibawa sebagai tanda ingatan dan persahabatan.

Perjalanan petang ini ke air port terasa amat perit sekali, seperti hatiku masih tertinggal dibelakang. Tidak seperti perasaan pertama kali menjejakkan kaki kesini. Cultural shock! Udara bumi Malaya tetap ku rindukan dan aku perlu pulang, tidak menjejakkan kaki lagi kesini. Mungkin.

Pengumuman kaunter informasi airport mengejutkan aku. Aku masih belum melapor masuk. Bergegas, bersalaman dengan mereka. Aku bangga dan sedih pada saat akhirku disini . Begitu ramai menunggu ku di airport. Aku merapati Zu, berpelukan dalam linangan airmata “Thanks for everything. Pray for me, i’ll be back here soon. Insyaallah”. Zu hanya mengangguk perlahan. Aku melangkah masuk dan sempat menoleh ke belakang selepas melepasi pintu berlepas. Tolehan dalam linangan airmata.

Aku banyak mendiamkan diri di dalam penerbangan. Melontarkan pandangan jauh keluar jendelanya melihat awan-awan hitam. Aku minta bersendirian dan tidak mahu diganggu. Perjalanan yang jauh ini, aku diam dan lena bersama kenangan disitu.

Pray for me, i’ll be back here soon

Catatan aku:
Joat Jett and Blackhearts – I Hate Myself For Loving You.
Mungkin itu memberi gambaran hubungan Sa dan Zu.
Malu untuk mengakui, lagu yang Sa dan aku minati waktu itu.

[to be continued]

Mungkin Suatu Hari

Posted: 14 September, 2008 in Cinta, Falsafah, Harapan, Masa Silam, Pemergian, Sajak

Disitu suatu ketika
pernah ku semai benih-benih cinta
ku siraminya dengan kasih sayang
ku bajai dengan pengorbanan
dan kusuburi dengan kepercayaan
agar tumbuh mekar ia sentiasa
merendangi dan meredupi
memayungi halaman cintaku

Aku ke sini lagi
menjejaki tanah yang kini gersang dan kontang
tiada lagi pepohon redup nak memayungi
tiada lagi bunga-bunga yang mekar mewangi
rumput tidak lagi hijau menghampari
ini bukan tempat yang ku puja dan ku gilai
kini hanya tinggal
kelopak dan rantingan
reput menyembah bumi
di atas batas kenangan cinta

Wahai bunga ayu
megahlah dan mekarlah dikau
di tanah subur yang kau idami
memayungi dan merendangi
halaman cintamu
walaupun benihmu asal dari tanah itu

Biarlah
aku terus disini
rebah dan mereput bersama kelopak cintamu
pasti nanti suatu hari
akan ku pugari semula tanah ini
sesubur dan semekar dahulu
mungkin suatu hari…

Aku
1994

Satu nota:
Kenapa aku berkias sebegitu rupa pada tahun itu
Mungkin ‘mereka-mereka’ ada jawapannya
Mungkin ada…

SHIMI a.k.a
S
esungguhnya Hidup Ini Memang Indah

Entri ke 100. Milestone SHIMI yang baru mencapai usia 4 bulan 5 hari. Berkisar-kisar di dalam dunia blog yang dikelilingi para bloggers tegar dan bertaraf sifu. Aku belum lagi sampai kesitu dan aku tahu ia tidak mudah. Sokongan dan dokongan tidak patut dihampakan.

Aku bukan seseorang yang arif di dalam bidang penulisan tapi aku suka untuk menulis. Usia pertengahan antara 30an dan 40 an menjadikan aku seseorang prihatin dengan keadaan. Menulis berdasarkan pengalaman, menulis berdasarkan persekitaran, menulis tentang sensitiviti hati, hidup, cinta dan kasih sayang manusia.

Aku menulis disini bermula dari mata hati. Menyelam jauh ke dasarnya dan timbul dipermukaan dengan sesuatu coretan dan bingkisan. Melakar-lakar dipadang permainan ini yang ada hari pasang dan surutnya. Aku pernah berkata “Berblog bukan kerana nama, tidak hipokrit tidak berbasa basi”.

Setelah tiba dititik ini, aku kembali merenung kebelakang.

  • Aku perlu dalil kenapa perlu berblog. Dalil?
  • Juga pengakuan tidak mahu dituduh sebagai ini.
  • Luah rasa dan keluh resah menjadi lelaki itu.
  • Cuba berbicara sebagai negarawan seperti ini dan ini.
  • Bercerita tentang dunia dari kacamata dan akal fikiran anakanak.
  • Dan itu hanya sebahagian titipan coretan perjalanan ini.
Banyak yang telah aku simpulkan sepanjang perjalanan aku disini. Untuk tiba ketitik yang 100 lagi itu bukan mudah apatah lagi capai angka ribuan seperti mereka. Perjalanan ini perlu diteruskan dengan penuh istiqamah sekuat aku memulainya. Sekuat aku menongkah hidup menuju dewasa.

Dunia ini masih banyak cerita yang perlu dikongsi bersama.
Maka apa yang aku putuskan,
Seratus ini bermula dengan semangat 1, 2 dan 3.

Titik Hitam

Posted: 11 September, 2008 in Hidup, Luahan, Masa Silam, Pedoman, Sesal

Sa berkisah lagi.
Rentetan dari ceritanya ini.

Prolog

Sememangnya hubungan aku dengan Sa akrab. Umpama adik beradik. Lama telah aku mengenali hati dan budinya. Semenjak kami sama menjadi rakan sekerja disini. Buruk dan baiknya semua di dalam poket. Sa suka memendam rasa dan banyak berselindung cerita hidupnya. Jarang sekali terkeluar dari mulutnya mengenai dirinya serta perkara lampaunya. Kisah-kisahnya sekitar perkara semasa yang kadang-kadang mencuit hati tanpa menyentuh tentang dirinya atau orang lain. Mungkin juga aku antara sahabatnya yang dipercayai, yang mampu makan sepinggan dan tidur sebantal. Sa memang benar-benar mempercayai aku sebagai sahabatnya.

Monolog
Waktu rehat selepas solat Zohor yang masih terluang itu kami habiskan dengan bersembang. Anjung rehat disudut pejabat itu tempat kami melepas lelah dan letih seketika. Pancuran udara nyaman itu betul-betul merehatkan kami. Terpacul pertanyaan dari mulutnya. “Kau ada titik hitam atau peristiwa pahit yang kau kau kekal ngat dan sesal?”. Aku diam melayani pertanyaannya. Kemudian aku jawab pendek “Kenapa?, mungkin setiap kita ada kisahnya tersendiri”.

Sa mula bercerita. Datang ikhlas dari hatinya meluahkan rasa. “Banyak perkara yang aku sesalkan dalam hidup ini”, Sa memulai. “Awal hidupku banyak perkara kemungkaran yang terlibat”. “Berbelas tahun dulu, aku tidak sebegini seperti yang kau kenali”, itu pengakuan Sa. Aku juga mengakui cerita Sa dalam hati melalui cerita-cerita yang pernah ku dengar dari rakan -rakan tentang kehebatan dan keligatan Sa di zaman muda remajanya.

“Waktu itu aku jauh diseberang laut, dizaman remaja di tahun-tahun awal aku memulakan alam pekerjaan. Penuh perasaan ingin tahu. Gila mencari cinta dan kasih sayang”, Sa tunduk bercerita sambil memainkan jari jemarinya. “Waktu itu sebenarnya aku sangat dahagakan kasih sayang dan kegembiraan sebenarnya. Cuma cara aku mencarinya berbeza”. “Penuh maksiat memang penuh maksiat”.

“Kesal memang aku menyesal. Hidup aku ketika itu dikelilingi arak, perempuan kelab malam malahan aku juga bersekedudukan”, pengakuan yang agak mengejutkan. “Ketika itu perempuan memang mudah bagi aku, mungkin juga rupa paras aku serta asal-usulku yang membuatkan aku memang mewah dengan perempuan”. Memang aku akui Sa memang kacak serta mempunyai tutur kata yang agak menarik siapapun perempuan yang mengenalinya mahupun sekarang.

“Teruna ku juga habis disana. Kau tahu ada antara yang bersama aku disana yang balik kesini kena AIDS. Meninggal dunia. Tapi syukur, Allah masih menyayangi aku, aku masih bebas dan bersih sehingga kini”, tambah pengakuan Sa yang makin menakutkan aku.

“Kau tahu apa yang paling aku sesalkan?, Sa bersoalan. Aku cuma menggelengkan kepala khusyuk mendengar. “Perkara kotor yang aku lakukan disana diketahui oleh ahli keluargaku. Zu mencari aku disini”. “Kecoh serta hilang segala kepercayaan mereka dan aku seperti dipandang jijik dan serong”. Bertahun aku menyepi tanpa menghubungi keluargaku. Aku tahu mereka juga seperti tidak mahu ambil tahu tentang aku. Sesekali sahaja aku pulang sebentar kekampung, melepas rindu”. “Aku tahu, selepas ketiadaan kedua ibu bapaku aku seperti tak punya sesiapa untuk mengadu. Aku seperti hilang punca kasih sayang dan tercari-cari”, nada cerita Sa dalam sedih dan sayu.

“Bertahun kau tahu bertahun aku ambil masa untuk beli semula hati mereka”. Aku masih ingat hinggakan majlis pertunangan aku pun kakak ipar bertanya dengan isteriku sekarang yang benarkah dia betul-betul ingin mengahwini aku. Atau dia juga telah menjadi sebahagian dari mangsa aku”. Sampai begitu sekali kau tahu curiga mereka”. “Memang benarlah janji Allah bahawa jika kita terlibat dengan zina dan kemaksiatan maka hidup kita akan disempitkan. Hidup akan dilanda 1001 kepayahan beransur datang”. “Aku dah melaluinya dan aku tahu akan siksanya ujian Allah itu”.

“Syukur, aku telah banyak berubah dan meninggalkan semua itu. Syukur juga Allah memberi aku jodoh yang baik”. “Cuma aku takutkan nasib generasiku dari perbuatan lampauku. Seperti satu sumpahan yang terngiang dalam benak pemikiran aku sentiasa”. “Mungkin tidak kot”, aku mencelah.

“Aku tahu kau juga seperti aku yang telah kehilangan kedua ibu bapa. Tapi kau lebih bernasib baik dengan jalan kehidupan yang lebih teratur. Kerana itu aku anggap kau orang yang layak memahami perasaan orang seperti aku”.

Sa melihat jam tangannya. Mengajak aku beredar bangkit. Cerita itu memang penuh pengajaran kepada aku. Manusia memang perlu teman yang sesuai untuk meluahkan rasa yang terpendam.

Lewat petang sebelum pulang aku menjengah ke biliknya. “Jom balik!”, aku mengajak. “Ok, sikit lagi, baliklah dulu tapi jangan lupa janji kita nak berbuka di Anjung Felda” esok. “Ok”, ringkas jawapanku sambil melontarkan senuah senyuman ikhlas pada seorang sahabat. Dalam langkah yang perlahan itu aku masih terfikirkan akan luahan rasa Sa. Manusia ini memang dianugerahkan jalan cerita hidup yang berbeza. Kepayahan dan onak sepanjang perjalanan hidup itu tidak sama. Menarik nafas penuh kesyukuran.

Moga rahmat, keredhaan dan petunjuk Allah itu sentiasa memayungimu Sa…

Jika ini dikatakan ujian, maka tabahkanlah aku untuk menghadapinya. Jika kejauhan ini jadi penyebab maka dekatkanlah hati aku sentiasa mengingatinya. Jika rindu itu membuatkan aku kusut, maka leraikanlah aku dengan inayahMu. Jika masa laluku menjadi ukuran, maka buangkanlah ia jauh dari ruang memori gelapku.

Berikanlah aku sentiasa kekuatan dalam setiap keadaan dan ketika. Aku sebagai hamba tiada daya dan upaya untuk memilih segala bentuk ujianMu yang mendatang. Sesungguhnya hidup ini perlu diteruskan untuk memperolehi keindahan anugerah dariNya. Sesungguhnya Hidup Ini Memang Indah…

Zubir Ali/Aishah – Doa

Tuhanku
Dalam termanggu
Ku sebut nama-Mu
Biar susah sungguh
Mengingati Kau
Penuh seluruh

Tuhanku cahaya-Mu panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi

Tuhanku
Aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku
Pintu-Mu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling

Diadaptasi dari sajak Chairil Anwar – Doa (13 November 1943)
kredit kepada Dunia Penyair disini.

Pengumuman:

Aku akan ke Sungai Petani hari ini hingga hujung minggu. Jika kalian rindu aku tinggalkan kalian sedikit bekal teka teki yang pernah aku kongsikan disini. Jawapannya akan aku berikan nanti di entri yang lain.

Kelepak.. Kelempung

Posted: 9 August, 2008 in Masa Silam, Perkahwinan, Pesanan

Kelepak..kelempung, bunyi kompang mengiring rombongan pengantin. “Pengantin datang”, lagak orang kampung umpama juragan memberitahu ada kapal telah mudik ke pelabuhan. Indahnya memori 9 tahun lepas masa aku kahwin dulu. Masa hari tu aku nampak hebat. Ada gaya, ada mutu dan ada keunggulan. Cewahh! naik troli tolak sendiri nampak. Cuma tak la sehebat macam Siti Nurhaliza punya kahwin yang ada live telecast. Standard live telecast aku cuma jurugambar berbayar je.

Fuu Yoh, minggu ni dengan minggu depan aku dapat banyak undangan majlis perkahwinan woo. Bestnya dapat makan free. Yang tak bestnya lokasi majlis semua arah mata angin ada. Apa kan daya, jemputan kena dipenuhi walaupun minyak tak disubsidi lagi.

Perkahwinan dan alam rumahtangga.
Bila mengorak langkah ke gerbang perkahwinan banyak pesanan dan petua yang kita bakal perolehi. Dari ibu dan ayah kita sendiri hinggalah kepada orang-orang tua yang lebih berpengalaman. Walau pun kadang-kadang bunyinya sinis.

Hidup perlu ada pesan memesan (tidak termasuk pesanan pizza dsbgnya)
Banyak kata-kata pesanan yang boleh diambil pengiktibaran. Meneroka di dalam dunia blog, aku terkesan dengan pesanan ini. Aku juga pernah menukilkan beberapa perkara yang mempunyai kesamaan mengenai dunia perkahwinan disini, disini dan disini.

Untuk sahabatku yang baru melangsungkan majlis perkahwinannya (dan majlis resepsinya esok hari) aku dedikasikan entri ini. Walau aku tak tahu kau tak pernah membaca blog aku dan aku pun tak pernah bagi tau yang aku ada blog. Apa la punya aku.

Melaka, aku akan kembali lagi ke bumi mu esok….